twitter
rss

LAMAN WEB RASMI SMK PERMATANG PASIR, 13500 PERMATANG PAUH, PULAU PINANG

  • SMKPP TERBAIK.....

  • PRESENTATION I-THINK

  • KEM BINA DIRI

  • KENANGAN BERSAMA GURU SMKPP

 

CUBA bayangkan sekiranya pandemik COVID-19 yang melanda hampir seluruh dunia ketika ini berlaku sekitar 1980-an dan awal 1990-an, sebelum wujud ledakan teknologi maklumat.

Sudah tentunya banyak kekangan untuk penyebaran maklumat mengenai penyakit dan usaha dilakukan kerajaan serta negara lain bagi memerangi wabak maut yang sudah menjangkiti lebih empat juta penduduk dunia ini.

Sekiranya dahulu masyarakat bergantung kepada sumber telekomunikasi seperti radio dan televisyen untuk mendapatkan maklumat, namun perkembangan teknologi hari ini membuatkan segala-galanya berada di hujung jari dengan penggunaan internet serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Situasi ini sudah tentu menjadikan masyarakat dunia lebih cakna termasuk isu semasa, sesuai dengan tema sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinfromasi Sedunia 2020, iaitu Connect 2030: ICT For Sustainable Development Goals.

Sambutan tahun ini memberi fokus kepada kemajuan dan kemunculan trend baharu ICT sebagai pemangkin pembangunan pintar untuk memelihara ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia menyebut, ketika dunia dilanda COVID-19, teknologi dan komunikasi menjadi landasan untuk pengukuhan ekonomi serta kehidupan rakyat walaupun dalam situasi sukar ketika ini.

Merapatkan jurang digital bagi mengukuh dan memperkasakan ekonomi masyarakat menjadi komitmen utama negara agar masyarakat terus berhubung dan berupaya mendapat manfaat daripada kesalinghubungan berkualiti tinggi.

Penggunaan jalur lebar di negara ini membantu rakyat mendapat faedah untuk kehidupan lebih baik.

Pada 2019, jumlah langganan jalur lebar di negara ini adalah sebanyak 43.38 juta. Daripada jumlah itu, 2.95 juta ialah langganan jalur lebar tetap, meningkat 10 peratus berbanding 2.66 juta pada 2018.

Sementara itu, langganan mudah alih pula meningkat sebanyak 10 peratus pada 2019 kepada 40.43 juta berbanding 36.79 juta pada 2018.

Begitu juga perkhidmatan liputan semakin berkualiti dan meluas. Liputan 3G pada 2019 ialah 95.5 peratus berbanding 2018 (94.7 peratus), manakala liputan 4G LTE pula meningkat pada paras 82.2 peratus pada 2019 berbanding 79.7 peratus (2018).

Semua peningkatan ini didorong faktor peluasan liputan, kemampuan lebih besar serta kualiti perkhidmatan lebih baik dengan peningkatan penggunaan data dan telefon pintar.

Menurut MCMC, kesalinghubungan ini akan terus mempengaruhi kehidupan rakyat terutama dengan pelaksanaan teknologi 5G yang sedang dilaksanakan.

Perkembangan dunia hari ini menyaksikan maklumat bercambah dan berubah dengan begitu pantas sekali.

Dalam keadaan tertentu terutama suasana ancaman seperti COVID-19, maklumat perlu disampaikan dan digarap dengan seberapa pantas yang boleh. Kelewatan menerima maklumat boleh mencetuskan masalah dan kemudaratan lebih besar.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali, sumber maklumat bukan sahaja diperlukan untuk menjadikan masyarakat lebih bermaklumat tetapi ia penting menjadikan masyarakat lebih peka dengan acaman di sekeliling.

"Untuk menjadikan masyarakat lebih bermaklumat, keupayaan untuk mengakses maklumat terkini harus dipertingkatkan terutama penggunaan ICT seperti internet dan satelit yang mampu merealisasikan penghantaran maklumat dengan pantas," katanya kepada BERNAMA.

Perkembangan teknologi tanpa wayar yang pesat juga dapat meningkatkan kemampuan penghantaran data dan maklumat berskala besar dalam masa lebih singkat.

Dengan teknologi seperti peralatan komunikasi mudah alih, maklumat terkini boleh diakses lebih mudah dan berkesan.

"Bagaimanapun, perkembangan teknologi pesat ini mempunyai cabaran tersendiri kerana masyarakat perlu dididik agar mempunyai kemampuan menapis maklumat dan memastikan maklumat itu adalah benar," katanya.

Dalam situasi semasa, ketika mendepani pandemik COVID-19, akses kepada maklumat sangat penting dalam usaha memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat terpelihara.

Sebagai contoh, tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu PKP1, PKP2 dan PKP3 yang dilaksanakan kerajaan membuktikan negara mampu membendung penularan wabak berbahaya ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff, berkata langkah dilaksanakan kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat bergantung kepada advokasi media dan komunikasi.

Pelbagai medium telekomunikasi digunakan bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat yang menjadi kepentingan terutama bagi menentukan keberkesanan amalan kebiasaan baharu dalam masyarakat.

Menurut beliau, normal baharu ini tentunya akan mengubah landskap kematangan cara masyarakat kita berfikir, melakukan sesuatu dan menilai tahap keselamatan serta kesihatan masing-masing.

"Dalam erti kata lain, media berstrategik bagi menyokong tindakan kerajaan mengubah minda masyarakat kita berfikir dan melaksanakan peranan mengikut nilai kebiasaan baharu dalam era digital," katanya.

Jelas beliau, kempen advokasi sosial melalui pelbagai medium media menjadikan masyarakat lebih bermaklumat mengenai amalan kebiasaan baharu termasuk menjalani nilai kehidupan masyarakat dengan lebih positif.

"Paling penting maklumat disampaikan melalui media harus berupaya mengasingkan persepsi negatif masyarakat yang beranggapan nilai pembudayaan normal baharu ini akan menjejaskan kepercayaan terhadap amalan keagamaan dan tradisi masyarakat.

"Maklumat melalui medium telekomunikasi yang ada tidak kira radio, televisyen, internet dan telefon pintar dapat menyampaikan maklumat kepada masyarakat bagi memacu amalan pengawalseliaan kendiri dari segi penjagaan kesihatan, kebersihan dan mendidik masyarakat membuat keputusan positif terhadap penjagaan kendiri," katanya.

Dalam usaha memacu penggunaan teknologi makumat digital, masyarakat harus berubah dan mengalihkan strategi dengan menggunakan teknologi komunikasi secara lebih cekap, efisien dan berupaya menyampaikan maklumat lebih pantas dan berpengaruh.

Menurut Syed Agil, kerajaan melalui MCMC harus menubuhkan Pusat Advokasi Maklumat Kebangsaan yang berfungsi membantu dan mendidik masyarakat mengamalkan pengawalseliaan kendiri.

Ini membolehkan masyarakat membuat keputusan penelitian kendiri terhadap maklumat tular di media sosial.

"Dengan cara ini juga akan menggalakkan lebih banyak penyaluran maklumat positif terutama amalan kebiasaan baharu dalam kalangan masyarakat," katanya.

Maklumat bermanfaat dalam krisis kesihatan terutama pasca COVID-19 dengan amalan kebiasaan baharu akan menjadi tunggak peradaban manusia hari ini dan akan datang.